LONDON: Badan induk Formula Satu, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), mengumumkan kelonggaran terhadap peraturan berkaitan penggunaan kata-kata kesat oleh pelumba selepas menerima tekanan daripada pelumba dan pasukan Rabu lalu.
FIA menghapuskan risiko penggantungan perlumbaan serta mengurangkan penalti maksimum daripada €10,000 (RM51,000) kepada €5,000 (RM25,500) sebelum menjelang Grand Prix Emilia Romagna Ahad ini.
Dalam kenyataan rasmi, FIA menjelaskan bahawa garis panduan baharu turut membezakan antara penggunaan bahasa kesat dalam situasi “terkawal” dan “tidak terkawal”.
“Persekitaran terkawal termasuk sidang media, manakala persekitaran tidak terkawal merujuk kepada komen spontan pelumba atau pasukan semasa berada di landasan atau ketika rali,” katanya dalam kenyataan itu.
Perubahan ini digambarkan sebagai peningkatan besar terhadap lampiran B dalam kod sukan FIA yang sebelum ini dikritik kerana terlalu ketat dan tidak realistik terhadap tekanan sebenar perlumbaan.
Antara yang lantang mengkritik dasar terdahulu ialah juara dunia empat kali, Max Verstappen, yang dikenakan tindakan disiplin selepas bersumpah ketika sidang media di Singapura.
Dalam masa yang sama, pelumba Williams, Carlos Sainz turut melontarkan pendapat yang sama seperti Verstappen.
“Apa yang kami katakan di radio (kereta), saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku, anda tidak boleh terlalu keras dalam perkara sebegini kerana tidak memahami tekanan dan adrenalin ketika berada dalam kereta.
“Saya rasa, untuk Formula Satu sendiri, adalah baik untuk mengalami detik-detik itu kerana ia memperlihatkan pemandu sebenar,” tambahnya. –UTUSAN