ADUN Tronoh Steven tiada masalah bagi nombor telefon peribadi

YB Steven tiada masalah bagi nombor telefon peribadi

STEVEN bersama rakyat di kawasan ADUNnya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang mungkin satu-satunya wakil rakyat yang mempunyai dua pusat khidmat untuk rakyat.
Taburan penduduk berselerak dalam DUN Tronoh yang terletak dalam Parlimen Batu Gajah menyebabkan ADUN berusia 32 tahun itu membuka dua pusat khidmatnya masing-masing di Tronoh dan Pusing.

ADUN DAP itu memperuntukkan masa menerima dan meneliti aduan rakyat pada waktu pagi di pusat khidmatnya di Tronoh dan pada sebelah petang, beliau akan berada di Pusing.

Menurutnya, persempadanan DUN Tronoh agak unik kerana ia merangkumi sebahagian pekan Pusing dan sebahagian Batu Gajah.

“Dari segi jumlah pengundi, DUN Tronoh mempunyai kira-kira 40,000 pengundi dengan komposisi 54 peratus Cina, 24 peratus Melayu dan 22 peratus India.

“Taburan penduduk berselerak, bukan berpusat sebab kawasan ini nampak luas dan untuk kemudahan penduduk, saya menyediakan dua pusat khidmat di Tronoh dan Pusing.

“Jarak kedua-dua pusat khidmat ini kalau ikut lebuh raya Ipoh-Lumut lebih kurang 12 minit sahaja. Walaupun tidak jauh tetapi penduduk dalam DUN Tronoh berselerak, penduduk tidak bertumpu dalam satu tempat.

“Seperti penduduk Kampung Bali, jarang datang ke pekan Pusing, inilah satu sebab saya membuka dua pusat khidmat. Ini memudahkan saya memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Penggal pertama menjadi wakil rakyat dan ADUN Perak termuda bukan halangan untuk beliau menjalankan tugas dengan baik dan berkesan dengan turun padang.

“Saya pun tiada masalah untuk memberikan nombor telefon peribadi saya kepada rakyat malah saya menetapkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu turun padang berjumpa penduduk sama ada di taman perumahan dan kampung-kampung,” katanya.

 

 

Steven Tiw Tee Siang
Umur: 32 tahun
Tarikh Lahir: 26 Nov 1993
Status: Berkahwin
Jawatan: ADUN Tronoh
Pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan La Salle, Ipoh (2000-2005)
 Sekolah Menengah Kebangsaan St.Michael, Ipoh (2006 -2010)
 Sarjana Muda Perdagangan dari University of Wollongong, Australia (2013-2016)
Jawatan dalam Parti:  Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAPSY Kebangsaan
Jawatan dalam Kerajaan Negeri:  ADUN
Hobi: Main bad­min­ton.

HAIWAN TERNAKAN BERKELIARAN ADUAN TERTINGGI

Menurut Steven, aduan paling banyak yang diterimanya di Tronoh adalah haiwan ternakan lembu dan kerbau berkeliaran hingga ke kawasan perumahan selain masalah insfrasktruktur asas seperti jalan rosak atau longkang lama tersumbat.

Katanya, bagi isu ternakan merayau, beliau membawa masalah itu dalam sidang DUN Negeri Perak dan mendapat perhatian sehingga satu usul dibincangkan dan rang undang-undang berkaitan ternakan dibahas.

Malah, jelasnya satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelesaikan masalah lembu dan kerbau berkeliaran.

“Masalah ternakan merayau ini tidak setakat di kawasan perumahan sahaja tetapi juga ada aduan haiwan tersebut berkeliaran sehingga ke Lebuhraya Ipoh- Lumut dan ini sudah tentu membahayakan pengguna laluan tersebut apatah pada waktu malam,” katanya.

Walaupun pertama kali menjadi wakil rakyat, Steven Tiw mengakui tidak kekok mendekati masyarakat dan membantu setiap masalah yang adukan. –

Menurutnya, pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Ahli Parlimen (MP) bagi Ipoh Timor, Wong Kah Woh yang kini Timbalan Menteri Pendidikan banyak mengajar beliau bagaimana mahu memberikan khidmat kepada rakyat.

“Saya masih ingat pada 2016, ketika kami masuk ke kawasan Tebing Tinggi, kami tidak menerima sambutan daripada penduduk.

“Namun kami tidak berputus asa. Pada hujung 2016, kami mula membuat program dan selepas itu kami menerima sambutan agak memuaskan.

“Sejak itu, kami bekerja keras dan kini diterima dengan baik. Ini mengajar saya bagaimana mahu mendekati rakyat dan sambutan penduduk di DUN Tronoh sangat baik,” katanya.

Sementara itu, sejak menjadi wakil rakyat, antara yang dilakukan Steven di DUN Tronoh adalah memasang lampu perhiasan sempena perayaan utama masyarakat berbilang kaum yang mendapat pujian ramai.

Lampu perhiasan dipasang di jalan utama di sekitar DUN Tronoh untuk memeriahkan sambutan perayaan satu-satu kaum yang biasanya dipasang dua minggu sebelum dan selepas perayaan

malah kadang kala dipasang sehingga dua bulan.

KERAJAAN PERPADUAN SEMAKIN DITERIMA RAKYAT

lebih dua tahun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi tonggak kerajaan, Steven percaya Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Hal Ehwal Antrangbangsa Pemuda DAP Kebangsaan berkata, semasa terbentuknya Kerajaan Perpaduan, rata-rata rakyat terkejut bagaimana hubungan BN-PH boleh dicapai sehingga membentuk kerajaan.

Katanya, apa yang membanggakan Kerajaan Perpaduan terbina di Perak dan idea ini diangkat ke Persekutuan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat pelbagai inisiatif reformasi dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini antara harapan dari rakyat yang inginkan perrubahan yang positif.

“Mungkin dalam masa perubahan itu, ramai belum dapat menyesuaikan diri tetapi saya percaya apabila rakyat dapat menyesuaikan diri, negara akan mencapai tahap yang lebih baik,” katanya.

Dalam konteks kerajaan negeri, Steven berkata, ada juga mengatakan kerajaan Perak tidak stabil, Menteri Besar akan bertukar dan sebagainya namun sehingga hari ini elemen itu tidak wujud sama sekali, hanya dimainkan oleh pihak tertentu sahaja.

“Hubungan UMNO dan DAP amat baik sekali, program Menteri Besar menerima sambutan baik daripada ADUN DAP. Program besar yang dianjurkan DAP, Menteri Besar turut hadir. Saya tidak melihat pergolakan politik di antara DAP dan UMNO, tidak wujud lang­sung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN