KUALA LUMPUR: Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dibanjiri lautan merah penyokong Manchester United sejak pukul 3 petang bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka menentang ASEAN All-Star, malam ini.
Difahamkan hamper 70,000 keeping tiket telah dijual bagi aksi berkenaan dan suasana di perkarangan SNBJ sangat meriah dengan kehadiran penyokong yang majoriti menyarung jersi keramat The Red Devils berwarna merah sebagai tanda sokongan.
Meskipun perlawanan berlangsung pada hari bekerja dengan cuaca panas, ia tidak menghalang peminat-peminat serantau Asia Tenggara untuk hadir lebih awal bagi mengelak kesesakan.
Kehadiran United ke Kuala Lumpur kali ini boleh dianggap sebagai pengubat rindu selepas kali terakhir menjejakkan kaki ke Malaysia pada perlawanan pramusim 2009.
Sebagai rekod, United mengharungi musim hambar tanpa sebarang trofi dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan ke-15.
Esok, United akan berlepas ke Hong Kong untuk mengharungi aksi persahabatan kedua sebelum menutup tirai musim ini secara rasmi.- UTUSAN