PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu memastikan barisan terbaik diturunkan dalam dua aksi persababatan menentang Cape Verde dan bukannya memilih untuk melakukan eksperimen.
Ini kerana jarang Harimau Malaya dapat berdepan pasukan diranking sekitar 70 terbaik dunia, selain perlawanan itu juga bakal menjadi ukuran kepada taktikal sebelum berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 jun depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. pekan Ramli berkata, kemampuan Cklamovski mencorakkan taktikal juga bakal teruji dengan Cape Verde dijangka menurunkan kesebelasan terbaik untuk menjaga kedudukan ranking mereka.
“Saya nampak ini peluang terbaik untuk Harimau Malaya, sebelum ini kita selalu persoal apabila gagal mendapat lawan terbaik dalam aksi persahabatan. Yang biasa kita lawan pasukan ranking atas 100 sahaja, jadi peluang ini kena gunakan sebaik mungkin.
“Jadi kita kena pastikan barisan terbaik diturunkan dan bukannya bereksperimen. Apa pun yang penting, ini adalah persiapan untuk bina pasukan sebelum berdepan Vietnam, kena pastikan pemain bersedia sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harimau Malaya akan berdepan Cape Verde pada aksi tier 1 pada 29 Mei ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum berdepan pasukan sama dalam aksi tertutup pada 3 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebelum ini, Cklamovski memaklumkan sekarang adalah fasa penting buat Harimau Malaya untuk mempersiapkan diri untuk menentang Vietnam dan menganggap perlawanan dengan Cape Verde adalah penting untuk menilai kemampuan pemain yang bakal dipanggil.
Cklamovski juga sedar pemain yang akan dipanggil perlu bersiap sedia dengan lebih baik memandangkan Cape Verde merupakan salah satu pasukan kebangsaan terbaik Afrika dan memiliki pemain yang berada pada tahap tertinggi di Eropah.
Mengulas lanjut, Pekan berharap akan ada muka-muka baharu yang dipanggil oleh Cklamovski untuk mewakili Harimau Malaya khususnya pemain Sri Pahang yang cemerlang pada aksi final Piala Malaysia 2025.
“Antaranya ialah Ibrahim Manusi yang cemerlang mengekang pergerakan pemain Johor Darul ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia selain Adam Nor Azlin yang cemerlang di benteng Sri Pahang. Namun, segala keputusan terletak di tangan Cklamovski,”katanya.-UTUSAN