Berganding bahu sambut usaha Tunku Mahkota Ismail

Berganding bahu sambut usaha Tunku Mahkota Ismail

SYED YAZID SYED OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak khususnya pemegang taruh utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) perlu berdiri teguh di belakang Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi mengubah landskap bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, beliau bersetuju dengan pandangan baginda berkenaan sikap dan mentaliti segelintir pemegang taruh bola sepak negara yang masih ketinggalan berbanding negara serantau.

Katanya, semua pihak seharusnya menyambut baik saranan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang sedang berusaha mengubah wajah bola sepak negara bermula dengan merevolusikan JDT yang kini amat dikenali di rantau Asia.

Ketika ini katanya,, perubahan sama sedang dilakukan untuk skuad Harimau Malaya dengan projek revolusi membawa masuk beberapa jurulatih import terbaik selain bakal membawa masuk beberapa tonggak warisan bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.

“Saya setuju dengan pandangan dan teguran Tunku Mahkota Ismail terhadap mentaliti pihak-pihak tertentu yang suka merendahkan bola sepak tempatan, sedangkan sebenarnya kita ada potensi untuk maju ke hadapan.

“Sepatutnya kita perlu berganding bahu menyambut usaha Tunku Mahkota Ismail yang sedang melakukan perubahan dengan berani untuk menyedarkan semua pihak supaya kita bergerak ke arah profesional.

“Kejayaan JDT adalah bukti bahawa baginda (Tunku Mahkota Ismail) mampu melakukan perubahan itu dan kita kena membantunya ke arah yang positif.

“Bagi saya secara peribadi, kita perlu gunakan dan manfaatkan sebaik-baiknya inisiatif Tunku Mahkota Ismail, cuba bayangkan jika Tunku Mahkota Ismail sudah tak mahu berada dalam ekosistem bola sepak kita, dah tentu lagi teruk.

“Jadi bagi saya, kita perlu berubah dan gunakan sebaiknya kehadiran Tunku Ismail untuk kita berjuang cuba membina sebuah ekosistem bola sepak yang tepat hingga berjaya layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

“Baginda ada hubungan dengan pelbagai pihak khususnya kerajaan, pihak swasta, dana kewangan yang kukuh, kedudukan sebagai pemimpin utama dalam negara, selain hubungan dengan pihak luar yang kuat. Jadi inilah peluang untuk dimanfaatkan sebaiknya dengan kehadiran Tunku Ismail,” katanya.

Menurut Syed Yazid yang juga Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City) itu, bola sepak masa kini sudah jauh berubah berbanding zaman dahulu.

“Dulu kita hebat sebab tak banyak lagi negara yang sertai FIFA. Kita pernah duduk ranking tertinggi atas 100 sebab dulu banyak negara khususnya di benua Afrika belum ada (jadi ahli gabungan FIFA)

“Tapi sekarang dah jauh berbeza. Negara lain semuanya makin ke hadapan, tetapi kita masih ditakuk lama malah terus merudum. Sejajar dengan itu KL City akan memastikan pasukan yang kompetitif,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN