PARIS: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia akan membawa alat yang diperbaharui pada motosikal miliknya bagi menghadapi saingan MotoGP di Perancis pada hujung minggu ini.
Bagnaia bersemangat untuk mencatatkan impak besar pertamanya dalam perebutan kejuaraan Grand Prix (GP) Perancis.
Pelumba berusia 28 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan di podium pada saingan terakhir di GP Sepanyol, hasil daripada kemalangan besar yang dialami rakan sepasukan dan pesaingnya, Marc Marquez.
Kejadian itu membolehkan Bagnaia merapatkan jurang dengan ketara, walaupun pelumba Gresini, Alex Marquez sekali lagi menunjukkan prestasi lebih baik daripadanya untuk memenangi perlumbaan di Jerez.
Selepas menjalani satu hari ujian di Jerez, Bagnaia kini bersedia dengan versi terkini jentera GP25, walaupun butiran khusus belum disahkan.
“Kami berjaya membawa sesuatu yang akan digunakan di Le Mans. Ia adalah sesuatu yang Marc telah gunakan sebelum ini. Saya menanggalkannya selepas ujian di Thailand kerana saya tidak merasai keserasian.
“Saya gembira dapat mengujinya. Saya rasa (baik) dengannya. Kemudian kami menguji perkara lain yang saya tidak suka sebelum ini, dan saya perlukan lebih masa untuk memikirkannya,” kata Bagnaia selepas ujian tersebut.
Bagnaia sebelum ini menegaskan bahawa dia menemui dua perkara yang akan membantunya dalam usaha mengejar Marquez semasa ujian di Jerez namun tidak mendedahkan dengan jelas apakah komponen tersebut.
Bagnaia kini ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Alex Marquez, menjelang MotoGP Perancis. – AGENSI