LIVERPOOL: Pemain pertahanan kanan sensasi Liverpool, Trent Alexander-Arnold mengumumkan pemergiannya daripada Liverpool selepas dua dekad setia bersama kelab Merseyside itu, sekali gus menamatkan spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Berita mengejutkan itu disahkan sendiri oleh Alexander-Arnold menerusi platform media sosial X kelmarin, sambil menyifatkan keputusan meninggalkan kelab yang dibelanya sejak berusia enam tahun sebagai paling sukar dalam hidupnya.
“Kelab ini telah menjadi seluruh hidup saya selama 20 tahun. Sokongan dan kasih sayang yang saya terima daripada semua di dalam dan luar kelab akan kekal bersama saya selamanya
“Namun, keputusan ini adalah mengenai menghadapi cabaran baharu, keluar dari zon selesa dan mencabar diri saya secara profesional dan peribadi,” katanya.
Dilahirkan di Liverpool, pemain berusia 26 tahun itu merupakan produk akademi kelab tersebut sebelum melakukan penampilan sulung skuad utama pada 2016.
Sejak itu, beliau telah mencatatkan 352 penampilan, menjaringkan 23 gol dan membantu The Reds merangkul lapan trofi utama termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.
Musim ini, Alexander-Arnold memainkan peranan penting sebagai pemain tengah hibrid ketika bertahan dan menyerang dari tengah padang ketika pasukan menguasai bola.
Meskipun rundingan perjanjian baharu telah diadakan, bekas kapten England Bawah-21 itu memilih untuk tidak melanjutkan kontrak, berbeza dengan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk yang sudah bersetuju menyambung khidmat bersama skuad kendalian Jürgen Klopp itu.-UTUSAN