Tang Jie mahu bantu Wen Tse sebelum ‘rujuk’ bersama Ee Wei

Tang Jie mahu bantu Wen Tse sebelum ‘rujuk’ bersama Ee Wei

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei akan kembali bergandingan pada hujung Mei depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie mahu membantu gandingan sementaranya, Chan Wen Tse sebelum kembali bergandingan bersama Toh Ee Wei pada penghujung Mei nanti.

Tang Jie-Wen Tse yang mula digandingkan awal bulan ini selepas berpisah dengan Ee Wei, dijadual menyertai Terbuka Taiwan dari 6 hingga 11 Mei, diikuti Terbuka Thailand (13-18 Mei) dan Malaysia Masters (20-25 Mei).

Sepanjang tempoh kerjasama itu, Tang Jie mahu memastikan Wen Tse tidak berasa tertekan dan dapat menikmati pengalaman beraksi di kejohanan antarabangsa, khususnya sebagai pemain muda yang baru menyertai pentas utama.

“Harap dia (Wen Tse) tidak tertekan. Saya harap bukan sahaja boleh bantu dia sahaja, untuk beregu campuran saya akan bantu apa diperlukan tidak kira dalam kejohanan ataupun latihan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Jelas Tang Jie, kehadiran Wen Tse dalam skuad negara memberikan nafas baharu dan beliau melihat pemain berusia 20 tahun itu memiliki potensi besar sekiranya terus menunjukkan sikap positif seperti yang ditonjolkan dalam latihan.

Meskipun mereka hanya bergandingan dalam tempoh singkat, Tang Jie tetap mahu memastikan Wen Tse bersedia secara fizikal dan mental bagi menghadapi cabaran seterusnya dalam karier profesionalnya.

“Untuk tiga kejohanan ini, saya akan berikan yang terbaik. Kami tidak pernah menyertai kejohanan secara bersama, hanya baru berlatih bersama. Saya harap dia tidak tertekan kerana dia pun belum pernah bermain di kejohanan besar.

“Ini kerana dalam latihan dia pun bersemangat dan bermotivasi, bukan sahaja sebagai rakan gandingan tetapi sesiapapun selepas ini. Kalau mereka minta saya bantu, saya pasti bantu,” katanya.

Tang Jie yang mula bergandingan dengan Ee Wei pada penghujung 2022 ‘berpisah’ pada 28 Mac lalu atas alasan masalah persefahaman yang semakin menjadi-menjadi sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu membuat keputusan mengejut baru-baru ini selepas mendapat persetujuan bersama dengan Ee Wei untuk kembali bergandingan semula bermula di Terbuka Singapura dari 27 Mei hingga 1 Jun ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya