PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah untuk membantu Malaysia meraih kemenangan ke atas Australia dalam aksi kedua Kumpulan C saingan Piala Sudirman 2025, semalam.
Selepas hampir tiga minggu berpisah, Tang Jie-Ee Wei tidak kehilangan keserasian apabila menewaskan Ricky Tang-Gronya Somerville 21-8, 21-12 untuk membuka tirai kemenangan Malaysia di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China.
Tang Jie mengakui mereka masih menyesuaikan diri dengan suasana di stadium besar itu, namun tetap teruja kerana dapat beraksi bersama semula, lebih-lebih lagi dalam kejohanan berprestij buat negara.
“Rasa sangat bagus kami dapat bergandingan semula. Ianya satu saat yang bermakna buat kami. Kami mahu memberikan kemenangan yang terbaik pada semua perlawanan yang kami sertai,” kata Tang Jie selepas perlawanan, semalam.
Ee Wei pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu ‘deja vu’, mengingatkan detik dua tahun lalu ketika mereka juga menjadi penyumbang mata pertama pasukan pada edisi 2023 di Suzhou, China.
“Perasaan ini sama seperti dua tahun lalu. Ketika itu kami mengutip mata pertama negara menentang pasangan Taiwan. Bagaimanapun kami akan cuba masuk ke gelanggang dan memberi 100 peratus untuk menyumbang mata pasukan negara,” kata Ee Wei.
Gandingan No. 4 dunia sebelum ini memilih untuk berpisah akibat perselisihan faham, namun keputusan untuk bersatu semula menjelang Terbuka Singapura hujung Mei ini ternyata memberi isyarat positif.
Skuad negara berjaya melayakkan diri ke suku akhir selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Australia semalam serta membenam Perancis 5-0 dalam aksi pembukaan pada Isnin lalu.
Esok, Malaysia akan berdepan ujian sebenar apabila dijadualkan berdepan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C yang juga bakal menjadi penentu kepada juara kumpulan.
Menurut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas peringkat kumpulan layak ke suku akhir kejohanan berpasukan campuran dunia itu.
Malaysia masih belum pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali – pada edisi 2009, 2021 dan 2023.-UTUSAN