KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Karate Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad dipilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas menerima 70 undian pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif MOM 2025-2029 kali ke-44 di sini, hari ini.
Beliau menewaskan Presiden Persatuan Lawn Bowl Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz yang menerima 20 undi.
Sementara itu, untuk jawatan Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria telahpun dilantik ke jawatan No. 1 itu tanpa bertanding.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, seramai lima calon telah terpilih iaitu Datuk Azizul Anuar Adenan (Presiden Taekwondo Malaysia), Datuk Mohd Sumali Reduan (Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia) dan Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dari Persekutuan Tinju Malaysia.
Turut terpilih bagi mengisi jawatan tersebut adalah Datuk Chong Kim Fatt dari Persekutuan Wushu Malaysia dan Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Nurul Huda Abdullah.
Empat daripada lima calon yang dipilih bagi jawatan Naib Presiden terdiri daripada wajah baharu dan hanya Kim Fatt merupakan orang lama dalam badan induk sukan negara itu.
Setiausaha Agung MOM pula menjadi milik Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Mohd Nasir Ali, manakala, Penolong Setiausaha Agung digalas oleh Ahmad Arif Astamam dan Moira Tan Siew See.
Untuk jawatan Bendahari pula, diisi oleh pemangku Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dan Penolong Bendahari digalas oleh pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam. – UTUSAN