Ancelotti harap magis di Santiago Bernabeu 

Ancelotti harap magis di Santiago Bernabeu 

CARLO ANCELOTTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Carlo Ancelotti berharap skuad kendaliannya mampu mencipta magis di laman sendiri bagi menebus kekalahan 0-3 kepada Arsenal dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara, semalam.

Biarpun sedar peluang anak buahnya tipis untuk memadam defisit tersebut, pengendali Real Madrid itu optimis keajaiban akan berlaku sekiranya barisan pemainnya bersatu dan bermain seperti dirancang.

Dua jaringan Declan Rice menerusi sepakan percuma serta gol Mikel Merino meletakkan juara Eropah 15 kali itu dalam keadaan yang sangat sukar menjelang aksi suku akhir kedua di Madrid, minggu depan.

Kata Ancelotti, kekalahan anak buahnya semalam berpunca daripada prestasi hambar dan gagal memberi ancaman di bahagian serangan serta struktur pertahanan yang kurang kemas.

“Kebiasaannya pasukan ini (Real) akan meningkatkan perlawanan mereka pada detik yang penting. Ini satu keputusan yang mengecewakan, ini aksi yang terburuk di tempat lawan. 

“Kita perlu kritikal terhadap diri sendiri dan melakukan apa sahaja yang boleh untuk bangkit pada perlawanan minggu depan untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir,” kata Ancelotti.

Pengurus dari Itali itu menegaskan, anak-anak buahnya perlu tampil dengan aksi lebih baik untuk menyalakan kembali peluang ke separuh akhir apabila berkata ‘aksi mereka tidaklah terlampau buruk sepanjang perlawanan.’

Real memiliki rekod yang cemerlang membabitkan kebangkitan di Santiago Bernabeu, mereka pernah bangkit daripada ketinggalan dengan tiga gol pada aksi pertama, namun ia berlaku ketika menentang Derby County, hampir 50 tahun lalu.

Ancelotti juga seakan kurang percaya dengan peluang Real pada aksi suku akhir kedua nanti, namun dia mengingatkan Arsenal bahawa perlawanan belum lagi berakhir.

“Kebarangkalian (untuk layak) adalah agak rendah tetapi kami akan mencuba 100 peratus. Kami akan lakukan apa sahaja yang boleh dan ini peluang untuk kami memberikan maklum balas seperti aksi buruk malam ini (awal pagi tadi).

“Bola sepak sentiasa berubah. Tiada siapa yang jangkakan Rice akan menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma. Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kita perlu percaya kerana kadangkala, banyak (magis) yang mampu berlaku di Bernabeu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN