PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di kemuncak prestasinya apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, kelmarin.
Kejayaan tersebut menjadi sejarah buat Shah Firdaus apabila memenangi emas pertamanya di kejohanan tertinggi yang disertainya selepas atlet kelahiran Johor itu sebelum ini kerap berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa.
Pada aksi final di Velodrom Konya, Shah Firdaus terpaksa beraksi dalam kesakitan berikutan mengalami kecederaan di kaki kanannya berjaya menewaskan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 dari Perancis, Sebastien Vigier, gangsa menjadi milik pelumba Jepun, Shinji Nakano.
Selepas dinobatkan sebagai juara dalam acara kegemarannya, Shah Firdaus mengakui dia kehilangan kata-kata bagi menggambarkan perasaannya dan menyifatkannya sebagai kejayaan buat keseluruhan pasukan.
“Pertama sekali, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya melakukannya. Ia adalah hari yang panjang dan perlumbaan yang sangat sukar sejak pusingan pertama. Saya rasa pasukan dan jurulatih sudah melakukan kerja yang sangat baik dalam merancang segala-galanya.
“Saya amat gembira hari ini (kelmarin). Saya sudah lama menantikan saat ini. Sebelum ini, saya pernah mendapat tempat kedua dalam Piala Negara-Negara, tetapi hari ini adalah hari saya. Saya menang emas.
“Alhamdulillah, satu kemenangan yang amat bermakna selepas sekian lama berusaha, menaiki podium dan juga melalui detik-detik sukar di kejohanan berprestij seperti Piala Negara-Negara. Kejayaan ini lebih istimewa kerana hadir dalam bulan Ramadan penuh keberkatan,” katanya.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Shah Firdaus di kejohanan tersebut adalah meraih perak acara keirin di Kaherah, Mesir pada 2023.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukan anak buahnya itu malah memuji semangat juang yang dipamerkannya.
“Bonus buat diri Shah Firdaus kerana seperti semua tahu dia masih mengalami kecederaan dan belum pulih sepenuhnya malah sebelum ini dia baru sahaja selesai beraksi di ACC (Kejohanan Berbasikal Trek Asia),” katanya. – UTUSAN










