PUTRAJAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sekali lagi tidak akan menyertakan pendakian ke Genting Highlands, namun Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur menegaskan keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap persaingan perlumbaan berstatus ProSeries ini.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal, menjelaskan pemilihan laluan dibuat selepas mengambil kira kekangan kelulusan pihak berkuasa serta faktor teknikal tertentu yang tidak dapat dielakkan.
“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands, tetapi dengan cabaran yang ada, kami memilih Bukit Fraser sebagai laluan alternatif kerana ianya tetap memberikan cabaran besar kepada pelumba.
“Bukit Fraser pernah digunakan sebagai Queen Stage pada tahun 2008 dan 2015. Walaupun ketinggiannya tidak mencukupi untuk kategori Hors Classe, laluan ini tetap mencabar dan sesuai dikategorikan sebagai pendakian utama,” kata Emir kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Pelancaran LTdL 2025 di Menara KBS, Putrajaya, semalam.
Laluan ini menawarkan pendakian sepanjang 27 kilometer (km) dengan ketinggian maksimum 1,221 meter (m), menjadikan ia antara cabaran utama dalam perlumbaan kali ini.
Dalam pada itu, Emir turut menegaskan bahawa tanpa pendakian Genting Highlands, LTdL 2025 tetap menjanjikan perlumbaan sengit dengan variasi laluan berbukit dan turun yang mencabar.
“Dengan perubahan laluan ini, saingan akan lebih terbuka dan tidak hanya memihak kepada pendaki tulen. Pasukan perlu menyusun strategi dengan rapi kerana laluan menurun yang tajam boleh mencipta jurang masa yang besar,” katanya.
Sementara itu, MSN mengesahkan penyertaan tiga pasukan World Team, tujuh pasukan ProTeam, sebelas pasukan benua, dan satu pasukan kebangsaan, yang dijangka meningkatkan tahap persaingan.
Edisi ke-29 ini bakal merentasi 1,257.8km dalam lapan peringkat, bermula dari Langkawi dan melalui 12 negeri di Semenanjung Malaysia sebelum menamatkan saingan di Menara Berkembar Petronas (KLCC). – UTUSAN










