PETALING JAYA: Teka teki siapakah jurulatih tempatan yang akan menggantikan posisi Bryan Nickson Lomas selaku pengarah teknikal skuad terjun negara bakal terjawab apabila ketua jurulatih Wilayah Persekutuan, Yeoh Ken Nee menjadi calon terkuat untuk membimbing skuad negara.
Difahamkan, selain Ken Nee, jurulatih skuad pelapis MAS, Datuk Leong Mun Yee serta atlet terjun negara, Ooi Tze Liang menjadi calon untuk memikul tugas berkenaan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MAS, Andy Low berkata, ketiga-tiga individu menyatakan minat mereka untuk mengisi kekosongan berkenaan dengan pengalaman yang mereka ada sebelum ini.
“Kita enggan mengambil jurulatih dari luar untuk memberi laluan kepada pengendali tempatan. Ketiga daripada mereka merupakan atlet terjun dan pernah beraksi untuk Sukan Olimpik.
“Bagaimanapun, calon berkenaan akan diumumkan selewat-lewatnya pada pertengahan Februari ini,” kata Andy kepada Utusan Malaysia.
Ken Nee yang berusia 42 tahun itu ketika itu membawa skuad terjun Wilayah Persekutuan bagi SUKMA Sarawak, Ogos lalu bersama bekas jurulatih pembangunan bakatnya, Wendy Ng yang sudah memulakan tugasnya di Akuatik Singapura.
Bekas penerjun negara itu menjadi calon terkuat selepas reputasinya selaku finalis penerjun pertama negara di pentas Olimpik pada edisi 2012 di London, England.
Mun Yee ketika ini sedang mengendali skuad pelapis negara manakala Tze Liang yang masih berteka-teki untuk penyaraanya difahamkan sedang melatih atlet pembangunan. – UTUSAN










