Kelab bola sepak perlu belajar jana duit  

Kelab bola sepak perlu belajar jana duit  

Kelab bola sepak di negara ini perlu mencontohi cara Eropah menjana pendapatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelab Liga Malaysia (Liga M) perlu belajar selok belok perniagaan dalam bola sepak bagi mengelak kantung kewangan mereka kering dan bergantung harap kepada kutipan jualan tiket semata-mata.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, pertukaran status kelab Liga M daripada FA kepada FC adalah untuk meningkatkan kualiti Liga M dan dan juga kelab-kelab yang beraksi.

Katanya, sekirannya gagal dalam ‘model’ FC, kelab tidak boleh berharap untuk kembali ke zaman FA kerana semua itu hanya akan menyebabkan bola sepak Malaysia berundur ke belakang.

“Ada sebab kita beralih daripada FA kepada FC, tetapi kelab Liga M gagal dan saya fikir ada kelab yang tutup, tidak bayar KWSP, Perkeso malah ada tunggakan gaji yang mencecah sehingga 10 bulan.

“Semua ini berlaku kerana kelab gagal dalam perniagaan bola sepak, jadi kena cari jalan penyelesaian untuk ‘cari duit’ dan bukannya memohon patah balik untuk menjadi FA di bawah kerajaan negeri.

“Bawah kerajaan negeri, kelab bawah MB (Menteri Besar) dan MB guna kontraktor yang dapat projek daripada kerajaan negeri (untuk taja pasukan). Jadi,masalah tidak akan selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pemilik kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berpandangan model penswastaan Liga M perlu dikaji semula bagi memastikan setiap pasukan dapat mencapai keuntungan optimum.

Mohd. Daud berkata, sejak penswastaan Liga M dilaksanakan sepenuhnya pada 2019 kebanyakan pasukan yang bertanding gagal meraih keuntungan bagi menampung perbelanjaan kelab.

Mengulas lanjut, Zulakbal berkata, pemilik kelab kena sesuaikan diri dengan perniagaan bola sepak dan juga kena belajar macam mana pemilik kelab luar negara seperti Jepun, Korea Selatan dan England berjaya.

“Kena tahu macam mana cara kelab luar negara berjaya, sekarang pemilik kelab juga kena pergi belajar luar negara cara perniagaan dalam bola sepak dan bukannya hantar pemain dan jurulatih sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN