PETALING JAYA: Trauma yang dihadapi jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terubat selepas meraih pingat perak dalam lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024, semalam.
Atlet berusia 34 tahun itu dibelenggu dengan detik hitam selama tiga tahun berikutan penyertaannya dibatalkan susulan hadir lewat ke bilik panggilan pada edisi Tokyo 2020.
Bagaimanapun, impian mengatasi episod duka berkenaan membakar semangatnya untuk terus berjuang dalam sukan lontar peluru sekali gus mahu membawa pulang emas pada edisi Los Angeles (LA) 2028.
“Alhamdulillah. Sumbang perak lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sanghat kerana sudah beri yang terbaik.
“Saya belum mahu terfikir untuk bersara lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya bergantung pada keadaan badan saya untuk cuba yang terbaik.
“Selepas ini saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Pada aksi di Stade de France semalam, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.18 meter (m) untuk mengesahkan pingat perak menjadi miliknya selepas pulang dengan tangan kosong pada edisi lalu.
Sementara itu, Ziyad turut mendedahkan beliau mengambil teladan kisahnya pada edisi lalu hadir ke bilik menunggu 20 minit lebih awal susulan insiden pembatalan penyertaannya ketika di Tokyo 2020.
“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) sudah habis. Lega rasanya kerana detik ini memang menghantui saya sejak tiga tahun lalu sehingga saya tertekan.
“Kini saya dapat membuktikan dengan pingat perak ini dan saya berasa macam bermimpi,” tambahnya.
Pingat emas dalam acara itu dimenangi atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas.
Rakan sepasukannya, Maksym Koval, yang menang emas di Tokyo 2020 selepas kemnya membantah kelewatan Ziyad, pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m.- UTUSAN










