PETALING JAYA: Penyerang Harimau Malaya, Romel Morales menghadiahkan kemenangan Malaysia di pentas Pestabola Merdeka 2024 kepada penyokong setia skuad kebangsaan.
Pemain kelahiran Columbia itu, menegaskan bahawa barisan pemain Harimau Malaya bekerja keras sejak hari pertama latihan demi memastikan kejayaan menjadi milik skuad kebangsaan.
Katanya, walaupun mengetahui terdapat beberapa pihak mahu memboikot aksi Pestabola Merdeka namun dia bersama barisan pemain lain tetap memberi tumpuan penuh bagi meraih kejayaan untuk dijadikan hadiah kepada penyokong setia.
“Saya sungguh berbangga dan gembira dengan pasukan dan jika dilihat sememangnya kita layak untuk menang kerana sudah bekerja keras sejak hari pertama lagi.
“Ini adalah sebagai hadiah kepada semua pihak terutamanya kepada penyokong setia yang sentiasa bersama pasukan kebangsaan.
“Secara jujur agak menyedihkan kerana tindakan itu(boikot). Tapi kita tetap fokus setiap perlawanan dan sekarang kemenangan adalah untuk penyokong setia,”kata Morales yang menjadi wira pasukan negara menerusi gol tunggal diledaknya pada minit ke-33.
Terdahulu, penantian 11 tahun skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka berakhir selepas merekodkan kemenangan 1-0 menentang Lubnan di pentas final Pestabola Merdeka, kelmarin.
Sementara itu, dua kemenangan dicatat Malaysia ke atas Filipina dan Lubnan bakal membantu mereka mendaki tiga anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan perkiraan yang dibuat laman footranking.com, skuad Harimau Malaya menambah 10.06 mata daripada dua perlawanan itu yang mana 4.48 mata diraih ketika menewaskan Filipina 2-1, Rabu lalu dan 5.58 mata lagi selepas mengatasi Lubnan 1-0.
Ia menyaksikan Harimau Malaya setakat ini mengumpul 1,117.64 mata keseluruhan dan mendaki ke tangga 131, naik tiga anak tangga berbanding ranking semasa 134 seperti yang dikemas kini FIFA pada 18 Julai lalu.-UTUSAN










