Pemain Kedah boikot aksi menentang KL City FC?

Pemain Kedah boikot aksi menentang KL City FC?

SKUAD Kedah Darul Aman FC bagi musim 2024/2025.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketiadaan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang sudah seminggu memboikot sesi latihan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang akan dibariskan ketika menentang Kuala Lumpur City (KL City). Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Menurut sumber, perbincangan antara pemain setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan turun berlatih atau beraksi dalam perlawanan seterusnya, selagi tunggakan gaji tidak dibayar untuk sekurang-kurangnya membolehkan mereka ‘bernafas’.

“Beberapa hari lepas, ada permintaan daripada pihak pengurusan agar kami turun berlatih memandangkan aksi bertemu KL City semakin hampir. Tetapi pemain tetap tidak turun berlatih kerana masing-masing berada dalam keadaan terdesak dari segi kewangan ketika ini.

“Ketika permintaan turun berlatih itu dibuat, dikhabarkan pihak pengurusan akan membayar gaji kami pada hari ini. Tetapi setakat pukul 12 tengah hari ini (semalam), gaji kami masih tidak dibayar.

“Buat masa ini, pemain memang sudah memutuskan untuk tidak turun berlatih selagi gaji tidak dibayar. Kami juga mungkin tidak akan beraksi menentang KL City FC nanti jika keadaan ini berlarutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Barisan pemain KDA FC sebelum ini dilaporkan telah memboikot sesi latihan sejak Selasa lalu disebabkan gaji mereka tertunggak selama lebih enam bulan.

Selain memboikot latihan, beberapa pemain pasukan itu juga telah memuat naik hantaran di media sosial yang memberi bayangan mengenai masalah gaji yang mereka hadapi.

Mengulas lanjut kata sumber itu, jika gaji mereka tidak dibayar pada bulan ini, ada kemungkinan para pemain terpaksa berdepan ‘penderitaan’ lebih besar termasuk kereta ditarik oleh pihak bank.

“Dihubungi bank yang menuntut hutang seakan sudah menjadi kebiasaan buat kami, boleh dikatakan hari-hari kami terima panggilan. Setiap kali dihubungi, kami terpaksa beri alasan akan buat bayaran minggu depan, sama seperti dinyatakan pihak pengurusan kepada kami.

“Setakat ini perbincangan dalam kalangan pemain memang tak akan turun latihan selagi gaji tak masuk. Kalau gaji kami dibayar hari ini atau esok, kami akan turun berlatih,” katanya.

Dalam masa yang sama, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan pihak pengurusan KDA FC gagal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN