Liek Hou mahu terus berjuang

Liek Hou mahu terus berjuang

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas mengungguli acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), semalam.-IHSAN BWF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bersara selepas mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata, kejayaannya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Paris jelas menunjukkan dia masih berkemampuan untuk mengerah keringatnya menghadapi kejohanan besar pada masa akan datang.

Biarpun tidak dapat dipastikan sama dia mampu beraksi di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 atau tidak, namun Liek Hou mensasarkan sekurang-kurangnya dapat terus membuat penampilan di Sukan Para Asia 2026 di Jepun.

“Masih ada empat tahun lagi sebelum ke Los Angeles 2028 dan saya pun tidak tahu apa akan terjadi kepada saya ketika itu…yang penting saya akan fokus tahun demi tahun menuju ke Sukan Para Asia 2026 di Jepun.

“Kejayaan menang emas di sini membuktikan keadaan saya masih boleh tahan lagi, jadi saya mahu cipta lebih banyak rekod dan sejarah buat sukan badminton para selagi diri masih kuat,” katanya.

Pada aksi final yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, semalam, Liek Hou tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan dari Indonesia, Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam tempoh 42 minit.

Liek Hou merupakan pemain No. 1 dunia turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada jurulatih, Nova Armada yang sentiasa bersamanya sepanjang melakukan persiapan menghadapi Paralimpik Paris 2024.

“Jurulatih Nova faham karakter saya, dia tahu betapa saya susah dan bergelut dari dulu hingga sekarang. Saya tidak mahu mengecewakan dia dan sebab itu kejayaan ini mahu dedikasikan kepadanya,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN