PETALING JAYA: Berapa lama lagi peminat bola sepak tempatan perlu tunggu untuk melihat adanya penambahan senarai pemain berdarah kacukan atau warisan dalam skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente.
Biarpun deretan senarai nama pemain luar negara yang didakwa mempunyai darah kacukan dengan Malaysia didedahkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat seolah-olah hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja.
Sekiranya tiada tindakan proaktif seperti yang dilakukan negara jiran, Indonesia yang bekerja keras mengesan pemain warisan mereka, Malaysia berisiko untuk kehilangan khidmat pemain kacukan yang berada pada waktu puncak prestasi.
“Dalam bola sepak prestasi mana-mana pemain tidak selalunya berada di atas. Apabila usia mereka sudah meningkat pada masa sama prestasi mereka juga akan turut terjejas, ini jelas merugikan kita. Bukan semua pemain yang boleh beraksi untuk tempoh masa yang lama seperti 10 tahun lamanya.
“Selain usia, pemain itu juga berisiko untuk mendapat kecederaan jadi tidak perlu menunggu semua ini berlaku baru nak ambil tindakan,” kata Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan senarai panggilan pemain Harimau Malaya terbaharu ketika kempen Pestabola Merdeka menyaksikan lima pemain kacukan dipanggil dan hanya dua pemain sahaja yang berusia bawah 30 tahun iaitu Matthew Davies, 29, serta, Dion Cools, 28.
Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin memaklumkan penyerang St Louis City II, Wan Kuzain Wan Kamal bakal menyertai Harimau Malaya selain pemain warisan, Mats Deijl yang merupakan kapten Go Ahead Eagles turut berminat untuk mewakili Malaysia.-UTUSAN










