KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba mengakui skuad negara tidak beraksi dengan sempurna ketika berdepan Filipina, kelmarin.
Bagaimanapun, pemain Penang FC itu tetap berpuas hati kerana pada akhirnya Harimau Malaya berjaya menumpaskan The Azkals dan mara ke final Pestabola Merdeka 2024.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, walaupun kita tidak bermain dengan sempurna. Kami telah berusaha sebaik mungkin dan akhirnya berjaya (ke final),” kata Syamer.
Mengulas mengenai pemilihan pemain dalam aksi menentang Filipina, Syamer berkata, semua rakan sepasukan berhak untuk beraksi di bawah kendalian pau Marti Vicente.
“Persaingan merebut tempat dalam pasukan adalah cabaran, tetapi saya yakin setiap pemain mempunyai peranan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, penyerang naturalisasi negara, Romel Morales menghadiahkan kejayaan mara ke final kepada para peminat setia Harimau Malaya.
“Kita berjuang dan kita tunjukkan semangat berpasukan. Kita kelihatan bagus bersama-sama dan kita bekerja keras sebagai satu pasukan dan satu keluarga.
“Ianya sukar, kita cuba berikan yang terbaik untuk dapatkan kemenangan dan cuba bermain demi penyokong,” kata Morales.
Semalam, skuad negara beraksi tanpa ‘nyanyian’ Ultras Malaya yang memboikot aksi itu sebagai tanda protes di atas isu dalaman babitkan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Walaupun begitu, kehadiran hampir 15,000 penyokong khususnya pada separuh masa kedua ketika aksi dengan Filipina tetap memberi suntikan motivasi buat pemain yang mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan di awal permainan.-UTUSAN










