KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada aksi pembukaan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bertemu Svay Rieng FC, malam ini.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC tiada pilihan selain bermula dengan langkah kanan jika mahu mencapai sasaran yang diletakkan iaitu mara ke separuh akhir.
Namun, Steinbruckner mengakui TFC bakal diberikan tentangan sengit oleh Svay Rieng FC yang juga pendahulu Liga Kemboja yang menjadi lawan pertama dari Kumpulan A ACC.
“Semua enam pasukan sudah tentu mahu melepasi peringkat kumpulan tetapi hanya dua yang akan layak ke separuh akhir. Jadi setiap mata yang dipertaruhkan sangat penting bagi TFC.
“Kami menjangkakan perlawanan pertama yang sukar apatah lagi pasukan lawan turun dengan motivasi terbaik selaku pendahulu Liga Kemboja dengan rekod kemenangan 100 peratus.
“Tetapi saya yakin dengan barisan pemain TFC dan kami juga berupaya mempamerkan prestasi terbaik ketika beraksi di tempat sendiri,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Menurut jurulatih dari Croatia itu, persiapan TFC bagaimanapun terjejas dengan kecederaan Akhyar Rashid yang berkemungkinan terpaksa disisihkan daripada kesebelasan utama.
Sementara itu, ketua pasukan, Safawi Rasid, optimis TFC dapat mengutip mata penuh di depan penonton sendiri meskipun mengakui Svay Rieng FC bukan calang-calang pasukan.
“Tidak perlu gentar dengan pasukan lawan asalkan kami mengikuti arahan serta percaturan jurulatih dengan penuh disiplin untuk 90 minit dan tiga mata akan menjadi milik kami,” katanya.-UTUSAN










