Perhebat latihan penjaga gol hoki akar umbi - Utusan Malaysia

Perhebat latihan penjaga gol hoki akar umbi

S. KUMAR (tengah) memberi tunjuk ajar kepada peserta Klinik Penjaga Gol di Bandar Enstek dekat Seremban baru-baru ini-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Program latihan bagi penjaga gol hoki kategori umur bawah 12 tahun di peringkat akar umbi perlu diperhebatkan semula bagi meneruskan kesinambungan daya saing pasukan negara di peringkat antarabangsa.

Jurulatih penjaga gol hoki kebangsaan, S. Kumar berkata, tumpuan terhadap pembangunan penjaga gol hoki kategori tersebut kini semakin kurang dengan tidak banyak program untuk mencungkil bakat baharu.

Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana peringkat umur itu sepatutnya dapat melahirkan penjaga gol yang mahir dan berkualiti apabila mencapai umur dewasa.

“Dahulu kita lihat penjaga gol hoki yang mula bermain pada usia sembilan tahun akan menjadi mahir menjelang umur 12 tahun tetapi sekarang tidak lagi.

“Jika situasi ini dibiarkan berterusan kita bimbang daya saing pasukan kebangsaan tidak lagi mantap di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Klinik Penjaga Gol Hoki anjuran kelab hoki Road To Success (R2S) di Bandar Enstek di sini baru-baru ini.

Lebih 50 peserta yang terdiri daripada penjaga gol hoki berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun dari sekitar negeri ini mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Kumar menarik perhatian, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat ramai generasi muda yang berminat dan mahu bermain sebagai penjaga gol hoki.

Namun, katanya, hanya sebilangan kecil yang telah mencapai tahap kemahiran yang baik manakala sebahagian besar lagi masih memerlukan bimbingan dan latihan berterusan sebelum muncul sebagai penjaga gol berkualiti.

“Sebab itu, semua organisasi sama ada sekolah, persatuan hoki atau kelab hoki perlu berganding bahu menganjurkan lebih banyak program latihan khusus untuk penjaga gol

“Latihan akar umbi ini bermula di peringkat sekolah, daerah dan negeri dengan cita-cita untuk melahirkan penjaga gol hoki negara peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden R2S, S. Prasath berkata, program hari ini adalah julung kali dianjurkan kelab hoki itu yang ditubuhkan kira-kira setahun yang lalu.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dan kami menerima banyak pertanyaan termasuk dari pemain negeri lain yang berminat menyertai latihan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang menganjurkan klinik hoki penjaga gol fasa kedua dengan sokongan Kumar yang berpengalaman sebagai penjaga gol hoki kebangsaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN