PARIS: Bintang trek Jamaica, Shericka Jackson berkata tumpuannya lebih ke arah mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik Paris berbanding mahu memecahkan rekod dunia 200 meter (m) wanita.
Jackson, 29, menjadi atlet pertama dalam sejarah kejohanan dunia memenangi 100m, 200m dan 400m termasuk 4x100m dan 4x400m berganti.
Dia memenangi lima pingat Sukan Olimpik dengan satu-satunya emas diraih daripada kuartet 4x100m Jamaica yang memenangi emas di Olimpik Tokyo.
Jackson merupakan pelari semula jadi 400m telah bertukar acara apabila memenangi gangsa 100m di Olimpik Tokyo sebelum merangkul dua gelaran dunia bagi acara 200m pada 2022 dan 2023 masing-masing di Eugene dan Budapest.
“Ya, sudah tentu, saya tidak mempunyai pingat emas individu dalam Sukan Olimpik. Pada tahun 2021 (di Tokyo) saya mahu satu dan saya tidak dapat melakukannya dalam 200m jadi sudah tentu ini membuatkan saya teruja.
“Saya berharap saya dapat mencapainya pada Sukan Olimpik ini,” kata Jackson.
Rekod bagi acara 200m adalah 21.34 saat (s) dilakar oleh pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Florence Griffith-Joyner yang turut dikenali Flo-Jo pada 1988.
“Saya tidak akan membiarkan apa yang media mahu membebankan saya secara mental kerana saya fikir ramai orang mungkin terjebak dengan hanya fokus pada ‘Oh, saya ingin memecahkan rekod dunia, saya ingin melakukan itu atau ini.
“Anda mungkin memikirkannya tetapi anda tidak akan meletakkannya di hadapan, seperti okay, saya akan memecahkan rekod dunia hari ini dan sebagainya.
“Kerana bagaimana jika mental anda tidak cukup kuat dan kemudian anda tidak memecahkan rekod dunia, maka ia akan membebankan fikiran anda,” katanya. – AFP











