Aniq perlu elak rasa tertekan

Aniq perlu elak rasa tertekan

Mohamad Aniq Kasdan akan bertanding dalam kategori 61 kilogram pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suvi, Fiji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan perlu bijak untuk menyerap tekanan ketika turun beraksi dalam Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Aniq, 22, akan beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) buat kali pertama di pentas Olimpik dan peluang keemasan itu perlu digunakan sebaiknya untuk beliau mengharumkan nama negara.

Pengurus skuad angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, Aniq Kasdan ketika ini berada di dalam keadaan terbaik dan diyakini mampu mempamerkan angkatan terbaik.

Amirul berkata, atlet kelahiran Johor itu telah menjalani latihan intensif di Turkiye dengan mengikut corak percaturan pertandingan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan sebenar.

“Sebagai contoh, jika dia (Aniq) boleh melakukan angkatan seberat 120kg kita akan naikkan lagi jumlah tersebut untuk menaikkan lagi semangat beliau untuk angkatan seterusnya.

“Biasanya, semasa menunggu giliran pada hari pertandingan, atlet akan memanaskan badan dan biasanya atlet akan mengangkat 50kg, 60kg dan jumlah itu akan bertambah mengikut kemampuan,” katanya.

Menurut Amirul, Aniq sebelum ini telah berlepas ke Turkiye pada bagi menjalani latihan fasa akhir yang turut disertai beberapa atlet negara lain yang bertanding di Olimpik Paris.

“Atlet Tunisia, Arab Saudi, Jordan, Maghribi, Mesir serta Turkmenistan telah berlatih seali di Turkiye, ia secara tidak langsung menghidupkan suasana sebenar hari pertandingan nanti.

“Mereka masing-masing sedang melakukan persiapan Olimpik malah Aniq menjadi lebih bersemangat untuk beraksi,” tambah Amirul.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, Aniq perlu menganggap ini adalah pentas Olimpik terakhirnya bagi melonjakkan lagi semangatnya dalam usaha untuk memburu kedudukan podium.

“Ini adalah kali pertama Aniq layak beraksi di Olimpik, sudah tentu dia menggalas tanggungjawab yang besar dan merasai tekanan untuk membuktikan angkat berat ini mampu membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Namun, saya selalu ingatkan dia jangan anggap cabaran dan tekanan itu membebankan dirinya. Kita sudah berusaha sedaya upaya dan kita sudah berada di peringkat tertinggi sekarang ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN