SEGAMAT: Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan membawa harapan serta misi besar Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila turun beraksi malam ini dalam kategori 61 kilogram (kg).
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, menjadi harapannya badang negara itu dapat melakukan angkatan luar biasa dan menjelmakan pingat untuk negara.
“Saya beritahu Aniq, semua kita telah lakukan sebagai manusia biasa dari segi latihan, motivasi, permakanan, suplemen dan nasihat oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan lain-lain.
“Harap Aniq jangan gugup dan gemuruh di atas pentas. Insya-Allah saya sudah pesan kepada Aniq jangan pedulikan penonton, hanya fokus dengan angkatan dan semoga sesuatu yang luar biasa berlaku malam ini.
“Saya percaya dia mampu menyerap tekanan dan dengan semangat juang yang tinggi, ayuh Aniq, angkat Malaysia ke puncak kejayaan!,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ayub berharap seluruh rakyat dapat memberi sokongan kepada badang negara itu dengan doa dan sorakan padu ketika dia beraksi dan mengharumkan nama negara.
Beliau yang tiba di kota Paris, Perancis beberapa hari lalu mengakui kehadirannya adalah sebagai pemangkin semangat kepada Aniq.
“Semalam sesi jadual latihan akhir di perkampungan sukan (Paris), dan hari ini penentunya, iaitu waktu Paris pukul 3 petang dan di Malaysia pada pukul 9 malam. Ini kali pertama atlet angkat berat negara layak secara merit. Kali terakhir pada 2016 secara ‘wildcard’.
“Aniq atlet muda baru berusia 22 tahun. Semoga pengalaman mendapat pingat emas di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham lalu boleh dijadikan pengalaman untuk dia menyesuaikan diri ketika di pentas.
“Kuatkan semangat, fokus dan niatkan kerana Allah. Perlu ditanamkan juga tiada peluang kedua untuk beraksi. Buat yang terbaik untuk Malaysia dan sukan angkat berat ini, kami semua berbangga dengan kamu, Aniq!,” kongsinya.
Sebelum ini atlet kelahiran Segamat itu menghadiahkan gangsa kepada Malaysia dalam Kejohanan Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi.-UTUSAN










