Zii Jia akui kembali temui ‘cinta’

Zii Jia akui kembali temui ‘cinta’

LEE Zii Jia akui Wong Tat Meng banyak mengubah corak permainannya- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui kehadiran Wong Tat Meng memberi impak besar apabila membantunya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui 2023 merupakan detik yang sukar dalam kariernya apabila rankingnya daripada kedua terbaik dunia jatuh merundum mendadak sehingga menimbulkan keraguan pada dirinya untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris.

“Ranking saya jatuh mendadak pada kedudukan ke-16 atau ke-17 dunia. Saya fikir pada waktu itu saya agak keliru bahawa saya mungkin tidak layak ke Sukan Olimpik.

“Saya mempunyai banyak masalah dengan corak permainan saya begitu juga dengan tahap keyakinan. Apa yang kelakar adalah selepas kalah di pusingan pertama di Terbuka Indonesia 2023 saya berkata saya akan berehat seketika, saya akan berhenti seketika.

“Saya perlu dapatkan semula cinta saya terhadap badminton. Saya banyak berfikir, ia pengalaman yang hebat dan cabaran getir namun anda tahu saya mengatasinya dan saya berada di sini (Sukan Olimpik),” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi saluran Youtube badan induk tersebut.

Tat Meng menjadi jurulatih Zii Jia pada Mei 2023 dan sejak daripada itu juara Terbuka Thailand 2024 tersebut mengakui corak permainannya berubah secara mendadak malah lebih versatile dengan regim latihan yang diberikan.

“Jika anda melihat perlawanan saya sebelum ini saya hanya seorang penyerang. Saya tidak banyak membuat rali dan tiada pukulan bertahan daripada saya.

“Anda boleh lihat saya lebih selesa sekarang dan saya tidak hanya membuat pukulan smash. Banyak perkara telah saya pelajari sejak diberi input oleh jurulatih Wong Tat Meng.

“Sudah tentu latihan kami sukar namun pada masa sama kami menikmatinya dan lebih bertenang. Saya fikir itu perancangan kami menjelang Sukan Olimpik.

“Buat masa sekarang saya menikmati permainan saya di atas gelanggang. Saya sudah menemui cinta badminton saya semula,” kata pemain No.7 dunia itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN