KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) bakal mendapatkan khidmat penyerang import baharu bagi memperkuatkan pasukan itu pada jendela perpindahan yang akan dibuka bulan depan.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner berkata, hasrat itu sudah dinyatakannya kepada pihak pengurusan kelab namun mengakui sebarang keputusan bergantung kedudukan kewangan.
Menurut Steinbruckner, kecederaan serius dialami penjaring terbanyak musim lalu, Ivan Mamut, yang disisihkan sejak Januari akibat kecederaan tumit menjejaskan persiapan skuad Penyu.
Katanya, situasi itu memaksa TFC meletakkan sandaran kepada penyerang tunggal, Ismaheel Akinade, bagi menghadapi awal saingan Liga Super dan Piala FA yang kini memasuki peringkat separuh akhir.
“Selepas enam bulan disisihkan, saya tidak pasti berapa lama lagi masa diperlukan untuk (Mamut) kembali kerana kami tidak begitu optimis dengan keadaan dan tahap kecederaan pemain itu.
“TFC meletakkan sasaran tinggi dalam Liga Super selain Piala FA, Piala Malaysia serta Piala Shopee (Kejuaraan Kelab ASEAN), namun kami bukan pasukan yang mantap tanpa Mamut.
“Jadi kelab akan buat keputusan untuk membawa masuk seorang penyerang baharu kerana kami tidak boleh menunggu dia pulih dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ketiadaan Mamut yang menjaringkan 22 gol dalam semua pertandingan tahun lalu cukup dirasai skuad Penyu meskipun Akinade dilihat mengisi kekosongannya dengan baik setakat ini.
Bekas pemain akademi Hajduk Split dalam Liga Croatia itu bagaimanapun mengalami kecederaan tendon di bahagian tumit ketika persiapan pra-musim sehingga terpaksa direhatkan sehingga kini.
Steinbruckner berkata, pemain tinggi lampai itu belum dapat menjalani latihan penuh di padang bersama rakan sepasukan meskipun sudah mendapatkan rawatan susulan di luar negara
“Mungkin ada kesilapan cara menangani kecederaannya sama ada di pihak kelab atau pemain, tetapi ketiadaan Mamut sangat dirindui kerana dia penyerang yang prolifik dan tajam di depan gol.
“Kami tidak boleh terus menunggu pemain itu sembuh tanpa berbuat apa-apa pada jendela perpindahan bulan depan namun semuanya terpulang kepada bajet,” tambahnya.-UTUSAN










