PETALING JAYA: Pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Nur Shazrin Mohamad Latif telahpun merentas dua benua untuk penampilannya pada temasya lalu dan kali ini, dia membawa misi memperbaiki pencapaiannya tanpa dibelenggu dengan sebarang kecederaan.
Bakal terbang ke Perancis yang merupakan benua ketiganya, selepas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, Nur Shazrin amat berharap kecederaan yang melanda dirinya tidak lagi berulang dan dia bebas beraksi tanpa kesakitan.
“Setakat ini, persiapan saya berjalan dengan lancar dan saya masih menjalani latihan berserta proses pemulihan, namun, syukur Alhamdulillah kecederaan tangan yang membelenggu saya telah pulih,” katanya kepada dihubungi Utusan Malaysia.
Anak jati Pasir Gudang, Johor itu layak ke Sukan Olimpik selepas menggondol pingat emas dalam acara dinghy pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Nur Shazrin, 26, menerima pengiktirafan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini bersama-sama penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises yang tampil buat kali pertama.
Berpangkalan di Pulau Langkawi sebagai lokasi latihannya, Nur Shazrin berkata, dia akan terbang ke Marseille pada 7 Julai ini di mana venue pertandingan sukan pelayaran diadakan di sana.
“Saya amat berharap dapat memperbaiki keputusan saya berbanding dua temasya lalu, semasa di Tokyo persediaan saya terganggu kerana wabak Covid-19.
“Kali ini pula, saya terganggu sebab kecederaan pula, jadi, saya harap semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah, sekali gus meraih keputusan yang lebih baik,” ujarnya,
Bakal memulakan saingan pada 1 Ogos, Nur Shazrin sebelum ini dibelenggu dengan isu kecederaan pada jari tengah, manis dan kelengkeng yang tidak dapat digunakan dengan baik sehingga mengganggu prestasinya.
Mujur, atlet itu sempat pulih daripada kecederaan selepas menyuarakan kebimbangan terpaksa menarik diri daripada temasya terbesar di dunia itu, Mei lalu, gara-gara proses pemulihan yang agak perlahan.-UTUSAN










