PETALING JAYA: Selangor FC akan turun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menentang Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA malam ini dengan misi mencari bekalan selesa untuk aksi timbal balik.
Ketua Jurulatih Selangor FC , Nidzam Jamil berkata, barisan pemainya perlu melupakan kekalahan kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 0-1 dalam aksi Liga Super minggu lalu dan bangkit dalam saingan Piala FA dengan lebih baik.
“Persediaan kita seperti biasa dan tiada ada apa-apa persediaan istimewa. Cuma sekarang kita kena tahu cara nak bermain di tempat lawan macam mana. Kita mahu elak kekalahan kepada KL City berulang
“Kita rasa kelemahan kita ialah ketika kita berada di tempat lawan. Kita harus dapatkan bekalan yang selesa dan tidak terbawa-bawa dengan permainan yang terlalu terbuka tanpa memikirkan risiko yang lain.
“Kita sedar pasukan tidak bermain bagus di tempat lawan, jadi kita kena tahu bagaimana cara nak mengatasi kelemahan ini di Terengganu nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Nidzam menuntut anak-anak buahnya memberi fokus 100 peratus dalam aksi menentang Terengganu kerana skuad Sang Penyu memiliki rekod gol yang dominan.
“Kita kena tahu yang Terengganu sangat dominan di stadium sendiri. Mereka memiliki taktikal serangan antara yang terbaik di Malaysia sekarang,” tambahnya.-UTUSAN










