PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi hanya mempunyai masa tiga hari untuk melakukan persiapan sebelum memulakan acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Perak itu selamat tiba di Paris semalam bagi selepas mengharungi tempoh perjalanan yang lama dan pastinya dia memerlukan rehat yang secukupnya bagi menyesuaikan diri dengan perbezaan waktu.
Bagaimanapun, pelari berusia 20 tahun itu berkata, dia sudah biasa untuk menghadapi tempoh penerbangan yang lama memandangkan beliau merupakan pelajar Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).
“Selepas sampai (Paris) saya berasa baik, diharapkan selepas pergi ke perkampungan sukan saya akan lakukan aktiviti memanaskan badan.
“Saya sudah biasa berjalan jauh sebab kalau saya nak balik ke AS saya mengambil masa hampir 22 hingga 24 jam. Ini sebahagian daripadanya.
“Jadi itu menyebabkan saya sudah biasa dengan perjalanan jauh,” katanya yang beraksi di Olimpik Paris menerusi slot wildcard.
Azeem merupakan pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan masa 10.09 saat (s) mensasarkan untuk memecahkan rekod tersebut di Olimpik Paris apabila acara olahraga akan diadakan di Stade de France bermula 3 Ogos ini.
Difahamkan Azeem turut berpeluang menjalani latihan bersama rakan sepelatih dan jurulatihnya, Ken Harden individu yang bertanggungjawab membimbingnya di AS.-UTUSAN
habis
KAPSYEN: AZEEM Fahmi diberikan kata-kata semangat oleh bapanya sebelum berlepas ke Paris kelmarin untuk beraksi di Sukan Olimpik paris 2024.










