Perak cipta kejutan selaku pasukan ‘underdog’

Perak cipta kejutan selaku pasukan ‘underdog’

PERAK (jersi kuning) sewaktu beraksi menentang PDRM yang berkesudahan kemenangan 7-5 dicatat pasukan dari Utara tanah air itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hadir sebagai pasukan ‘underdog’ dan hanya membentuk pasukan beberapa hari sebelum pertandingan bermula, penampilan sulung Perak pada Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah tidak boleh dipandang sebelah mata selepas mereka mencatat empat kemenangan berturut-turut di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Skuad bimbingan Muhammad Husaini Husin itu mengekalkan rekod tanpa kalah apabila melakar kemenangan dalam dua perlawanan Kumpulan A hari ini yang diadakan pada sebelah pagi dan petang.

Dalam aksi berdepan juara bertahan, Pahang, pasukan dari Utara tanah air itu mencipta kejutan apabila melakar kemenangan besar 5-0.

Untuk perlawanan pada sebelah petang pula, Perak menundukkan PDRM 7-5 dan sekali gus, memastikan mereka mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan.

Semalam, Perak berjaya membenam Sarawak 7-2 dan mencatat kemenangan tipis 7-6 ke atas Pulau Pinang.

Pengendali Perak, Husaini ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia sama sekali tidak menduga prestasi baik berjaya dipamerkan anak-anak buahnya dalam penyertaan sulung mereka pada kejohanan peringkat kebangsaan edisi ketiga itu.

“Saya hanya dapat mengumpulkan pemain-pemain hanya beberapa hari sebelum kejohanan dan kami berlatih dalam keadaan serba kekurangan kerana di Perak kami tiada fasiliti untuk hoki 5 sebelah.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada beberapa pemain yang pernah beraksi bersama skuad negara seperti Meor Azwan, Izzat Hakimi dan penjaga gol, Adrian,” katanya.

Beliau mengakui, rata-rata pemainnya tidak memiliki pengalaman bermain dalam kejohanan hoki 5 sebelah dan mereka hanya sempat mengkaji corak permainan lawan sewaktu pertandingan berlangsung.

Menurutnya, pengalaman anak-anak buahnya yang pernah mewakili Malaysia dalam hoki padang dan kejohanan dalam dewan menjadi bekalan untuk mereka pantas menyesuaikan diri dengan kejohanan tersebut.

“Saya sebenarnya tidaklah meletakkan sasaran besar, tetapi memandangkan mereka bermain baik sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir satu bonus buat kami,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN