PETALING JAYA: Kerusi kosong yang ditinggalkan Kim Pan Gon tidak boleh dipandang mudah sebaliknya perlu diisi oleh individu yang benar-benar layak dan lebih baik daripada pengendali dari Korea Selatan itu.
Situasi itu menyaksikan tugas mencabar menanti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diterajui Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mencari calon yang benar-benar layak untuk menerajui harimau Malaya.
Biarpun Pau Marti Vicente menggalas tugas sebagai pemangku ketua jurulatih ketika ini, ramai yang berpendapat jurulatih dari Sepanyol itu tidak akan lama bertahan lama di posisi berkenaan dengan status ‘pemangku’.
Bekas Jurulatih Kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, calon yang perlu dicari FAM tidak semestinya dari Korea Selatan kerana apa yang penting ialah individu itu perlu sama atau lebih baik daripada Pan Gon.
“Untuk pengganti Pan Gon tidak semestinya kita perlu cari dari Korea Selatan juga, tetapi kualitinya itu perlu sama atau lebih baik dari Pan Gon bagi menjamin mutu bola sepak negara terus meningkat.
“Skuad negara perlu terus berkembang, calon jurulatih baharu memang beri kesan kepada pasukan dan peningkatan prestasi mereka. Contohnya, impak yang diberikan semasa era kejurulatihan Pan Gon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Turut senada dengan Wan Jamak ialah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang mahu FAM memilih calon tepat dan bersesuaian untuk mengemudi Harimau Malaya.
“Pengganti Pan Gon perlu perlu memiliki rekod prestasi yang cemerlang dan yang sejajar dengan keperluan pasukan. Kriteria yang perlu dipertimbangkan termasuk kemahiran taktikal, strategi serangan, dan keupayaan untuk mengubah pemikiran pemain,” katanya.
Bagaimanapun katanya, keputusan akhir perlu berdasarkan pada kajian yang teliti dan kesesuaian dengan konteks bola sepak Malaysia, bukan semata-mata dari negara asal calon yang dipilih.
“Ini yang perlu diperhatikan oleh FAM sendiri kerana kita tidak mahu tersalah dalam memilih jurulatih dan kesannya adalah kepada pasukan kebangsaan dan masa depan bola sepak di negara ini,” katanya.
Habis










