CHARLOTTE: Penyerang Liverpool, Darwin Nunez bersama beberapa pemain Uruguay terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong Colombia selepas mereka tewas 0-1 pada separuh akhir Copa America.
Beberapa klip video yang tular di media social menunjukkan Nunez melepaskan tumbukan ke arah penyokong Colombia selepas melompat ke arah tempat duduk penonton di Stadium Bank of America di Charlotte, North Carolina.
Pemain pertahanan Uruguay, Jose Maria Gimenez menjelaskan mereka terpaksa melompat masuk kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga mereka yang datang menyaksikan perlawanan itu.
“Ini satu petaka. Keluarga kami dalam bahaya dan kami terpaksa pergi ke tempat duduk penyokong untuk menyelamatkan mereka, ada juga bayi yang baru lahir.
“Tidak ada seorang pun pegawai polis… saya harap penganjur lebih berhati-hati terhadap ahli keluarga. Ini berlaku pada setiap perlawanan kerana mereka yang tidak dapat mengawal diri selepas mengambil minuman keras,” kata pemain Atletico Madrid itu.
Majoriti penyokong yang hadir menyokong Colombia, namun tiada garisan untuk memisahkan antara penyokong Colombia dan Uruguay di Stadium Bank of America di Charlotte itu.
Pergaduhan itu tercetus selama beberapa minit sebelum dileraikan oleh polis.
Kira-kira 80 hingga 100 penyokong Uruguay kekal berada di tengah padang di stadium itu meskipun ramai penyokong lawan sudah beransur keluar.
Pergaduhan juga tercetus di padang selepas wisel penamat dibunyikan membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan. – AGENSI







