PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mendapat tonik tambahan menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas berjaya memenangi pingat emas di Terbuka Terengganu, semalam.
Latif mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) PARA memenangi emas dengan lompatan 7.37 meter (m) sekali gus menjadi pencapaian terbaiknya pada musim ini.
Pingat perak dimenangi oleh wakil tuan rumah, Muhammad Shahrizal Nasharudin dengan 7.16m manakala gangsa menjadi milik Andre Anura Anuar dari Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas membuat lompatan 7.11m.
Latif yang beraksi di Sukan Paralimpik Paris bagi kategori T20 (kecacatan intelektual) pada September ini mengakui
dia berpuas hati dengan pencapaiannya di kejohanan tersebut.
“Hari ini saya lebih melakukan persediaan kepada rentak dan teknik. Saya juga agak berpuas hati dengan Jarak yang dilakukan kerana ini adalah lompatan terbaik saya musim ini iaitu 7.37m.
“Saya berharap boleh lakukan lompatan lebih baik di Paris nanti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persediaannya Paris, Latif berkata semuanya persiapannya bagi menghadapi temasya itu hampir sempurna.
“Alhamdulillah, persediaan ke Paris semuanya berjalan dengan lancar. Sudah 95 peratus saya bersedia untuk ke Paris,” katanya lagi.
Sebelum ni, Latif memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe pada Mei lalu dengan lompatan sejauh 7.30m. Itu merupakan emas keempatnya di kejohanan tersebut selepas memenanginya pada edisi 2015 di Doha, London (2017) dan Paris (2023).-UTUSAN










