KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) akan melakukan rombakan besar-besaran susulan kekalahan 1-3 kepada Perak FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat lalu.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, langkah berkenaan diambil bertujuan bagi memperkasakan semula pasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Super.
“Kami memahami keluhan penyokong yang menuntut perubahan segera dilakukan susulan kekalahan kepada Perak di halaman sendiri tempoh hari dan mengakui bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Oleh itu, kita akan kaji secara lebih mendalam untuk melihat permasalahan yang memerlukan tindakan drastik diambil oleh pihak pengurusan kelab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rozi memberitahu, selepas ini KDN FC bakal berdepan tiga perlawanan getir pada awal bulan depan dan langkah segera perlu diambil terlebih dahulu demi kebaikan pasukan sementara menunggu jendela perpindahan kedua dibuka.
Katanya, pihak pengurusan kelab tersebut telah melakukan banyak perubahan sebelum ini terutama dalam memastikan kebajikan pasukan terjaga.
“Kini mereka (pegawai dan pemain) seharusnya sedar tanggungjawab mereka kepada kelab serta atas nama negeri Kelantan sendiri.
“Tiga perlawanan perlu dihadapi sebelum jendela perpindahan kedua dibuka. Mulai sekarang saya telah ada beberapa langkah awal yang bakal dilaksanakan apabila tiba masanya nanti demi kelab dan negeri,” ujarnya.-UTUSAN










