PETALING JAYA: Kelantan Darul Naim (KDN) FC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super setakat 31 Disember tahun lalu.
Perkara berkenaan disahkan menerusi semakan Unit Pelesenan Kelab MFL dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, KDN FC juga telah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun.
“FIB menerusi Unit Pelesenan Kelab MFL telah membuat semakan dengan PFAM dan mengesahkan bahawa KDN FC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.
“Bagaimanapun KDN FC telah mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun menerusi surat persetujuan bersama yang telah ditandatangani semua pemain terlibat.
“Dokumen sokongan ini jelas memenuhi keperluan seperti yang ditetapkan dalam Artikel F.04, namun Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau secara berterusan pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun ini,” katanya
Merujuk kepada Artikel F.04 di bawah Kriteria Kewangan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025, setiap pemohon lesen wajib membuktikan bahawa tiada tunggakan bayaran atau mempunyai pelan penyelesaian bayaran tunggakan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak terhadap pekerja serta pihak berkuasa seperti LHDN, KWSP, PERKESO dan EIS setakat 31 Disember 2024.
Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, Sheikh Mohd Nasir berkata, KDN FC telah mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi tersebut.
“Sebagai langkah susulan, FIB telah mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran tersebut melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan.
“FIB ingin menegaskan bahawa jika terdapat sebarang isu berhubung semua penyerahan atau sebarang pengisytiharan yang tidak tepat kepada CLA MFL bagi tujuan memperoleh lesen untuk musim 2025-2026, siasatan boleh dimulakan terhadap perkara tersebut,” katanya.-UTUSAN










