PETALING JAYA: Bekas jaguh berbasikal trek negara, Josiah Ng yakin Datuk Azizulhasni Awang akan mudah mara ke aksi final dalam acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Josiah, peluang terhidang yang terhidang tidak akan disia-siakan oleh Azizulhasni dan beliau tahu jaguh sensasi negara itu akan memberikan segalanya di pentas Olimpik terakhirnya.
“Saya pernah menjadi rakan sebiliknya, tempat dia meluahkan perasaan dan sebagainya. Saya kenal dia (Azizulhasni) bagaimana. Dia tidak munculkan dirinya jika taruhannya dilihat rendah.
“Lihat pada Rio (2016) dan Tokyo (2020) dia dapat gangsa selepas itu perak. Jadi apa seterusnya? Hanya emas dalam fikirannya sekarang.
“Perlumbaan pecut dia ada peluang. Namun ketika ini ianya sangat kompetitif. Semuanya tentang kelajuan dan kuasa. Dia semakin berusia dan anda tidak boleh mengharapkan atlet berusia 36 tahun untuk menjadi yang terbaik di dunia dalam memerlukan kelajuan dan kuasa.
“Itu fakta fisiologi. Bagaimanapun saya berfikir sekarang dia tidak berfikir tentang perlumbaan pecut sebaliknya keirin dalam genggamannya kini,” kata Josiah.
Acara pecut lelaki akan berlangsung pada 7 Ogos ini manakala kategori keirin akan membuka tirainya pada 10 Ogos di Velodrom Saint Quentin En Yvelines.
Mengulas lanjut, Josiah berpendapat ketua jurulatih negara, John Beasley perlu merangka strategi baharu jika seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom turut mara ke pentas final keirin bersama Azizulhasni.
Katanya, peluang untuk mendapatkan emas itu dikhuatiri akan lebur sekiranya tidak melakukan persediaan dan pelan secara rapi bagi dua pelumba negara itu.
“Jika mereka berdua ke final itu sangat hebat. Malaysia mempunyai dua tiket loteri daripada enam. Saya dengan Azizulhasni semasa berlumba tidak merancang sebaliknya kami menunggang secara beriringan.
“Kami saling membantu tanpa merancang kerana jika kami buat perkara sedemikian ianya tidak berjaya.
“Terlalu banyak perkara yang perlu diambil kira dalam keirin. Anda tidak boleh merancang dalam keirin. Kamu selalu cuba dahulu namun ianya selalu gagal. Saya rasa Beasley harus berhati-hati dalam membuat perancangan jika mereka berdua di pentas final,” jelas Josiah.
Untuk rekod, Josiah dan Azizulhasni pernah berentap di separuh akhir pada Sukan Olimpik Beijing 2008 namun Josiah terkandas awal dan Jijo menduduki tempat keenam di London 2012.-UTUSAN










