JDT pamerkan semangat berpasukan

JDT pamerkan semangat berpasukan

PEMAIN pertahanan Malaysian University, Muhammad Arif Danial mengawal ketat penyerang JDT, Arif Aiman pada perlawanan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim. GAMBAR: RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio menegaskan semangat berpasukan adalah sebab utama mengapa skuad Harimau Selatan mampu menumpaskan Malaysian University secara agregat 13-0 di suku akhir Piala FA.

Menurut Bidoglio, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya dalam dua perlawanan menentang pasukan berkenaan yang berkesudahan 5-0 pada suku akhir pertama dan 8-0 pada aksi timbal balik.

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicapai. Ini membuktikan pemain dapat menterjemahkan kerja sebagai sebuah pasukan dan bukan permainan individu. Malahan mood di dalam bilik persalinan juga sangat positif.

“Semua perlawanan adalah penting dan sukar, jadi kami tidak memandang rendah pihak lawan sebaliknya kekal fokus dengan matlamat mendapatkan kemenangan.

“Apa yang penting bukanlah jumlah jaringan diperoleh, tetapi sebaliknya kemenangan dengan cara kerja berpasukan, itu yang saya mahu lihat di JDT dan kerja keras mereka berhasil,” katanya selepas perlawanan.

Tambah pengendali berusia 56 tahun itu, dia memilih untuk melakukan rombakan kepada kesebelasan utamanya dalam perlawanan semalam bertujuan memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi.

“JDT mempunyai senarai pemain yang bagus dan berkualiti tinggi dan dalam perlawanan ini (semalam), semua telah buktikan bahawa mereka sedia untuk diturunkan.

“Mereka fokus dan bermain secara terbuka dengan baik. Mereka turut memberikan tekanan kepada pasukan lawan sehingga berjaya mencipta banyak peluang serangan bagi mencapai kemenangan ini,” jelasnya lanjut.

Perlawanan suku akhir kedua semalam menyaksikan gol-gol JDT dijaringkan Juan Muniz Gallego; Heberty Fernandes; Muhamad Feroz Baharudin; Francisco De Oliveira; Romel Ramires dan Bergsen Da Silva.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN