Jangan harap undian mudah untuk menang

Jangan harap undian mudah untuk menang

PEARLY Tan-M. Thinaah mahu mencari strategi baharu untuk menangani isu konsistensi dalam gelanggang yang dikenal pasti antara punca mereka hilang fokus ketika menentang lawan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berharap beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah berlawan habis-habisan selepas diundi dalam ‘kumpulan maut’ pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 itu, pasangan nombor 14 dunia itu perlu sedar bahawa untuk menjuarai Olimpik bukan berharap diundi dalam kumpulan yang mudah sebaliknya harus bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

“Saya lihat undian tadi (kelmarin) sangat jelas ianya sukar buat mereka (Pearly-Thinaah). Saya harap mereka bermain seolah-olah mereka tidak akan kehilangan apa-apa. Mereka harus sedar ini Olimpik, jadinya laluan berliku sentiasa di hadapan.

“Kalau mereka berjaya meloloskan diri dari kumpulan A ini saya harap dapat memberi peningkatan kepada keyakinan mereka untuk peringkat seterusnya,” kata Rexy.

Kelmarin, dalam acara undian yang dilaksanakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWf) di ibu negara menyaksikan Pearly-Thinaah diundi dalam Kumpulan A bersama pasangan No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Selain pasangan terbaik dunia itu, Pearly-Thinaah turut berada dalam kumpulan yang sama bersama gandingan No.6 dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Sementara itu, bagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Rexy menyifatkan mereka ada peluang untuk meloloskan diri daripada peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Rexy menegaskan undian ini mereka tidak seharusnya memandang mudah dan ringan sebaliknya bersedia dari segi keadaan mental dan fizikal serta bebas dari kecederaan.

“Undian beregu campuran saya lihat ada peluang untuk mereka lepas. Namun harus diingatkan pasangan china, pemain wanita itu bekas juara Olimpik edisi lalu,” jelas Rexy.

Tang Jie-Ee Wei hanya perlu melepasi satu laluan berliku untuk membuat perhitungan dengan gandingan No.2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam Kumpulan D.

Dua lagi beregu iaitu pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai (30 dunia) dan gandingan ke-18 dunia, Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura seharusnya mampu diatasi jika tidak kerap membuat kesilapan yang mampu merisikokan peluang mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN