Dhabitah fokus perbaiki terjunan

Dhabitah fokus perbaiki terjunan

NUR Dhabitah Sabri akan menggalas cabaran negara di Terbuka Malaysia 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri akan memberi fokus bagi memperkemaskan lagi terjunannya bagi meraih mata yang lebih tinggi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dhabitah bakal beraksi buat kali ketiga pada temasya terbesar di dunia dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita selepas diberikan slot tambahan oleh Akuatik Dunia, minggu lalu.

“Saya hanya fikir satu perkara sahaja pada satu masa. Sampai sana (Paris) nanti baru saya fikir mengenai kejohanan yang bakal saya hadapi.

“Saya perlu perbaiki terjunan terlebih dahulu untuk mencapai markah lebih tinggi. Aspek pemarkahan sekarang lebih ketat dan peraturan juga sudah bertukar.

“Masa sudah suntuk untuk saya tingkatkan darjah kesukaran kerana saya memerlukan masa lebih daripada setahun untuk melakukannya.

“Pada masa akan datang mungkin (tingkatkan darjah kesukaran), kerana ia beri banyak faedah tetapi perlu dilakukan dengan baik jika mahu dapatkan markah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin di kem latihan skuad terjun negara.

Penerjun dari Kuala Lumpur itu berkata, beliau perlu mencari semula ketenangan seperti mana yang dilakukannya ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio pada 2016 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya kena belajar cari semula ketenangan daripada Sukan Olimpik yang pernah saya sertai sebelum ini. Saya tidak mahu berharap atau menjanjikan sesuatu.

“Saya hanya mahu bergerak mengikut arus dan memberikan persembahan yang terbaik apabila tiba masanya,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN