PETALING JAYA: Pasukan ragbi 15 sebelah (s) negara memulakan kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 dengan langkah kiri apabila dibelasah Korea Selatan 55-5 di Incheon, hari ini.
Skuad Bunga Raya 15s di bawah kendalian Mohd Farid Syazwan beraksi dalam perlawanan pertama kejohanan tersebut dengan mempertaruhkan gabungan pemain senior dan muda.
Bagaimanapun, kombinasi pemain baharu dan lama masih belum cukup mampu mengatasi kehebatan Korea Selatan yang merupakan pasukan pilihan pada aksi tersebut.
Skuad ragbi 15s negara akan berdepan ujian berat apabila bertemu juara bertahan Hong Kong dalam aksi kedua kejohanan di padang Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 Jun ini.
Berdasarkan rekod pertemuan pada edisi lalu, skuad Bunga Raya 15s dibelasah 9-88 oleh Hong Kong.
Mensasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan menjadikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah pasukan yang seharusnya ditewaskan oleh skuad ragbi negara apabila kedua-duanya dijadual bertemu di Dubai pada 21 Jun ini.-UTUSAN










