PUTRAJAYA: Selangor FC berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau Sivil jika enggan menuruti semua hukuman yang dikenakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke atas kelab berkenaan.
Skuad Gergasi Merah berdepan empat hukuman iaitu didenda RM100,000, perlu membayar pampasan kerugian yang ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL, dipotong tiga mata serta bermain tanpa penyokong pada perlawanan menentang skuad Harimau Selatan kelak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Hukuman berkenaan diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL susulan tindakan Selangor FC yang tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu, menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Selangor FC mempunyai tempoh sekurang-kurangnya empat hari untuk mengemukakan rayuan daripada tarikh keputusan hukuman itu dikeluarkan.
Jelasnya, Selangor FC boleh membawa perkara itu ke CAS atau Mahkamah Sivil untuk tindakan susulan sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan rayuan kelak.
“Selangor FC masih lagi boleh melalui proses rayuan jika tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan terhadap pasukan itu.
“Empat hukuman yang dikenakan terhadap Selangor mungkin ada satu atau dua akan dipertimbangkan semula atau melihatnya kembali.
“Sekarang ini, terpulang ke Selangor FC untuk mengemukakan surat rayuan. Walau apa pun Selangor FC perlu melalui proses itu dahulu sebelum membawanya keluar (CAS),” katanya, ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah NTC di Presint 5, di sini, semalam.
Sementara itu, Selangor FC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya susulan hukuman yang dikenakan MFL terhadap kelab itu.










