PETALING JAYA: Selangor FC tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Piala FA apabila membenam cabaran Negeri Sembilan FC 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Pada aksi yang turut disaksikan oleh Faisal Halim dari bangku penonton itu, anak buah Nidzam Jamil berada di depan hanya selepas enam minit menerusi penyudah cantik Yohandry Orozco.
Lapan minit kemudian Orozco sekali meledak untuk meletakkan skuad Gergasi Merah 2-0 dihadapan akibat kesilapan pertahanan Negeri Sembilan, Aliyu Abubakar yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Bintang Harimau Malaya, Nooa Laine memainkan peranan cukup baik di bahagian tengah apabila beliau melakukan hantaran menarik yang disudahkan dengan baik Alvin Fortes pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, Ronnie Fernandez berpeluang untuk menjaringkan gol keempat Selangor pada minit ke-66, namun sepakan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.
Bagaimanapun, lang dua minit kemudian Fortes sekali lagi meledak apabila rembatan derasnya berjaya menewaskan Syahmi buat kali keempat, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Gergasi Merah.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Selangor menempah pertembungan dengan Kuching City FC di suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik.
Semalam, Kuching City FC melakar kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk melangkah ke suku akhir.-UTUSAN










