PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu menang 10-0 atau 8-0 ke atas Taiwan pada Selasa ini bagi menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah slot secara merit ke Piala Asia 2027.
Bukan itu sahaja, dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, anak-anak buah Kim Pan Gon juga perlu mengharapkan pendahulu kumpulan, Oman dapat menjinakkan Kyrgyzstan dengan jaringan 3-0 dan ke atas tanpa melepaskan sebarang gol.
Ketika ini, Malaysia berada di tempat ketiga kumpulan, tiga mata di belakang Kyrgyzstan, manakala Oman sudah layak ke peringkat seterusnya selepas mengumpul 12 mata untuk berada di tangga teratas Kumpulan D ketika ini.
Jika Malaysia menang manakala Kyrgyzstan tumbang, maka kedua-dua pasukan akan mengumpul 10 mata dan perbezaan gol bakal jadi penentu untuk mengintai peluang menamatkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan D dengan Oman muncul juara kumpulan.
Sekiranya jangkaan itu menyebelahi skuad kendalian Pan Gon, Malaysia akan meraih tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mara secara merit ke Piala Asia 2027, namun semuanya bergantung dalam aksi terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nanti.
Pan Gon juga menganggap kemenangan besar tersebut mustahil untuk dilakukan kerana skuad kendaliannya pernah meraih keputusan 10-0 ke atas Papua New Guinea yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada Malaysia pada pertengahan tahun lalu.
“Kami pernah menang 10-0 ke atas Papua New Guinea yang menduduki ranking lebih tinggi daripada kami, waktu itu kami menang besar. Kami yakin dapat lakukan sesuatu (di Bukit Jalil ke atas Taiwan),” kata Pan Gon.-UTUSAN










