GEORGE TOWN : Kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam saingan Liga Super memberi suntikan moral dan semangat kepada para pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini.
Hakikat itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain selepas anak-anak buahnya memungut tiga mata pertama liga musim ini.
Nafuzi bagaimanapun mengakui bahawa pemain-pemainnya kerap melakukan kesilapan mudah sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.
“Ya, memang banyak (kesilapan). Kita kena buat ‘homework’ kerana kita akan jumpa Penang FC sebanyak dua kali lagi untuk saingan Piala FA selepas ini.
“Jadi, kita akan cuba perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada untuk perlawanan berikutnya,” kata Nafuzi selepas perlawanan tersebut.
Mengulas mengenai prestasi pemain kelahiran Serbia, Milos Gordic pula, Nafuzi berkata, penyerang tersebut mempunyai keupayaan yang tersendiri.
“Milos adalah penyerang yang mempunyai kualiti. Dia berbeza dengan (Ebenezer) Assifuah . Dia juga rajin dan boleh pegang bola. Saya rasa dia beri sumbangan kepada pasukan sejak awal.
“Cuma dari segi jaringan, Assifuah lebih baik, Apapun, kedua-duanya adalah penyerang yang berbeza, bergantung kepada taktikal yang kita perlukan,” ujar beliau.
Dalam aksi menentang Kedah di Stadium Bandaraya itu, Assifuah yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira KDA FC apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-77 perlawanan.-UTUSAN










