STUTTGART: Jurulatih Hungary, Marco Rossi mengkritik keputusan pengadil yang membenarkan gol pembukaan Jerman ketika pasukannya tewas 2-0 kepada tuan rumah Euro 2024 itu di Stuttgart, hari ini.
Jamal Musiala memberikan Jerman gol pendahuluan pada separuh masa pertama selepas menerima umpanan Ilkay Gundogan.
Bagaimanapun, pemain Hungary berang kerana berlaku kekasaran awal yang dilakukan Gondogan terhadap pertahanannya, Willi Orban.
“Saya tidak pernah mengeluh dalam karier saya sebagai pemain atau jurulatih, saya tidak pernah mencari alasan, tetapi apa yang dilakukan pengadil malam ini… pengadil menggunakan ‘double standard’.
“Pengadil membenarkan satu gol dengan tolakan ke atas Orban. Separuh masa kedua dalam situasi yang sama pada (Robert) Andrich, pengadil meniup wisel,” kata Rossi.
Rossi juga berang dengan video pembantu pengadil (VAR) kerana tidak campur tangan, dengan jaringan Musiala dibenarkan biarpun teknologi itu sudah pun melakukan semakan.
“Dalam perspektif saya, Jerman pasti menang, tetapi pengadil adalah yang paling teruk di atas padang,” katanya.-AGENSI










