Harimau Malaya perlu kenduri gol benam Taiwan

Harimau Malaya perlu kenduri gol benam Taiwan

HARIMAU Malaya terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang untuk layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 masih ada buat skuad Harimau Malaya dengan syarat mereka perlu melakar kemenangan besar ketika menentang Taiwan, Selasa ini dan mengharapkan Oman menjinakkan Kyrgyzstan tanpa dibolosi.

Jaringan 10-0 atau 8-0 tanpa bolos adalah sasaran Pan Gon yang percaya Malaysia masih berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027 nanti.

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, kemenangan besar tersebut tidak mustahil untuk dilakukan kerana skuad kendaliannya pernah meraih keputusan 10-0 ke atas Papua New Guinea yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada Malaysia pada pertengahan tahun lalu.

Justeru, aksi berdepan Taiwan di depan ribuan penyokong setia Harimau Malaya perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain negara yang turun berjuang nanti.

“Kami pernah menang 10-0 ke atas Papua New Guinea yang menduduki ranking lebih tinggi daripada kami, waktu itu kami menang besar. Kami yakin dapat lakukan sesuatu (di Bukit Jalil ke atas Taiwan),” katanya.

Berdasarkan perkiraan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya, skuad negara wajib menang lebih daripada tujuh gol tanpa dibolosi selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas dengan defisit lebih satu gol.

Ini kerana, Kyrgyzstan memiliki kelebihan jumlah jaringan enam gol berbanding Malaysia mencatatkan defisit dua gol.

Jika skuad negara menang manakala Kyrgyzstan tumbang, maka kedua-dua pasukan akan mengumpul 10 mata dan perbezaan gol bakal jadi penentu untuk mengintai peluang menamatkan kedudukan selaku naib juara Kumpulan D dengan Oman bakal bergelar juara kumpulan.

Sekiranya jangkaan itu menyebelahi skuad kendalian Pan Gon, Malaysia akan meraih tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mara secara automatik ke Piala Asia 2027.

“Kami sedar perkara itu di mana mereka ada kelebihan (dari segi kelebihan jaringan). Tapi kami mungkin boleh jaringkan lebih daripada 8 gol di tempat sendiri nanti.

“Kami juga ada kelebihan, bukan mudah untuk pasukan lawan datang (bermain di Bukit Jalil). Adakah anda (media Kyrgyzstan) masih ingat, pasukan anda juga dibolosi empat gol sebelum ini.

“Kami percaya dan yakin mampu lakukan sesuatu. Mungkin sekarang nampak kelebihan buat mereka (Kyrgyzstan), namun kami perlu berjuang hingga aksi terakhir.

“Kami sedar lima minit terakhir (perlawanan malam tadi) kami sememangnya mahu mengekalkan keputusan ini (seri) kerana kami tahu kami lebih kuat di tempat sendiri nanti.

“Kami akan cuba sebaik mungkin, kami menang 7-0 dan anda(Kyrgyzstan) kalah 2-0 sudah tentu kami mara. Di gelanggang sendiri kami ada kelebihan dan akan berjuang,” kata jurulatih negara dari Korea Selatan itu.

Dalam aksi semalam, skuad negara mengikat Kyrgyzstan 1-1 di Stadium Dolen Omurzakov, di mana gol tuan rumah diledak Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24 sebelum pelawat menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pertahanan, Odilzhon Abdurakmanov di minit ke-38.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN