PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli melengkapkan aksinya pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal FIM JuniorGP di kedudukan kesembilan serta ke-11 dalam perlumbaan 1 dan 2 di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, hari ini.
Anak muda berusia 17 tahun yang bernaung di bawah pasukan SIC Racing-Msi itu mencatat masa 27 minit 18.137 saat (s) dalam perlumbaan 1, manakala, pada perlumbaan 2, Hakim Danish melakar masa 27:30.260s.
Hasil daripada dua perlumbaan tersebut anak jati Kuala Terengganu itu kini mengumpul 35 mata dan menghuni kedudukan ke-12 keseluruhan dalam senarai pelumba JuniorGP selepas empat pusingan.
Sementara itu, nasib malang menimpa seorang lagi pelumba Malaysia, Danial Syahmi Ahmad Shahril apabila gagal menamatkan aksinya dalam perlumbaan 1, manakala, untuk perlumbaan 2, dia sekadar berada di tempat ke-17 dengan catatan masa 27:44.544s.
Pelumba berusia 21 tahun yang mewakili pasukan Junior Talent Team itu kini mengumpul 20 mata daripada empat pusingan dan berada di tangga ke-17 keseluruhan.
Penunggang Sepanyol, Alvaro Carpe mengungguli perlumbaan 1 dengan catatan masa terpantas 27:07.336s, manakala, di tempat kedua serta ketiga menjadi milik Guido Pini (+0.039s) dari Itali dan pelumba Republik Ireland, Casey James O’Gorman (+5.588s).
Bagi perlumbaan 2 pula, Pini menjuarai saingan tersebut menerusi lakaran masa 27:13.124s, sementara, Maximo Cuiles dari Sepanyol (+0.292s) muncul selaku naib juara dan Carpe (+0.327s) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
JuniorGP akan kembali beraksi di Litar Jerez, Sepanyol untuk pusingan kelima pada 15 September ini. – UTUSAN










