PETALING JAYA: Kerinduan peminat Selangor FC kepada Faisal Halim sedikit terubat apabila pemain sayap lincah itu hadir menyaksikan perlawanan skuad Gergasi Merah dan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang tadi.
Faisal yang terkenal dengan gelaran ‘Mickey’ hadir bersama ahli keluarga termasuk isteri dan anak beliau bagi melepas kerinduan untuk beraksi bersama skuad kendalian Nidzam Jamil selain ‘menikmati’ semula suasana berada di stadium.
Kehadiran Faisal disambut dengan sorakan gemuruh oleh peminat dan pemain Harimau Malaya itu turut dilihat melemparkan senyuman serta melambai ke arah para peminat yang rindukan aksinya selain sorakan ‘siu’ di stadium.
Pada Khamis lalu, Faisal membuat penampilan pertama di hadapan dihadapan orang ramai dalam satu sidang media khas selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Damansara pada 5 Mei lalu.
Akibat simbahan asid itu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.
Faisal dalam sidang akhbarnya memaklum beliau perlukan masa sebulan lagi sebelum kembali ke kancah bola sepak biarpun doktor menasihatinya untuk berehat sehingga tiga bulan.-UTUSAN










